Ramuan Syaitan Kegilaan Penagih Remaja
Menggunakan kepakaran dan pengalamannya sebagai pengamal perubatan lebih 25 tahun, seorang doktor veteran menjalankan uji kaji bagi menghasilkan ‘dadah generasi baru’ yang lebih berkuasa.
Antara ‘ramuan syaitan’ doktor berusia 50-an itu ialah mencampurkan puluhan jenis pil khayal.
Difahamkan, doktor berkenaan mendapat idea menghasilkan dadah campuran itu selepas membuat uji kaji selain hasil pergaulan dengan penagih dadah, terutama pelanggannya.
Siasatan anggota Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan mendapati, doktor yang memiliki sebuah klinik di Kota Bahru, Kelantan itu, mencampurkan sehingga 12 pil khayal berlainan jenis sebelum diisi dalam peket plastik ubat dan dijual antara RM15 hingga RM25 kepada penagih.
Lebih mengejutkan, doktor berkelulusan luar negara itu turut menyediakan buku hutang bagi membolehkan penagih membeli dadah ajaib terbabit walaupun tidak mempunyai wang.
Sumber Bahagian Penguat kuasa Farmasi berkata, kegiatan melampau doktor berkenaan dihidu selepas seorang guru membuat aduan anak muridnya kerap membeli pil khayal di klinik itu.
Menurutnya, kebanyakan penagih sanggup datang seawal jam 8 pagi untuk menunggu klinik terbabit dibuka bagi mendapatkan bekalan pil khayal itu.
“Dianggarkan 100 penagih datang ke klinik itu sehari bagi membeli dadah yang boleh diperoleh dalam bentuk cecair atau pil.
“Risikan mendapati penagih hanya perlu menghulurkan wang di kaunter klinik sebelum diberikan bungkusan dadah diperlukan,” katanya.
Menurut sumber itu, selepas yakin dengan penyelewengan doktor terbabit, lapan pegawai penguat kuasa farmasi dari ibu pejabat dan Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Kelantan melakukan serbuan di klinik itu, kelmarin.
“Serbuan turut dibantu 10 anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kelantan untuk memberkas kumpulan penagih yang berkumpul di klinik itu.
“Dalam serbuan jam 11 pagi itu, pegawai farmasi menahan doktor terbabit untuk disoal siasat, manakala polis memberkas lebih 30 penagih yang datang ke klinik itu untuk membeli dadah,” katanya.
Difahamkan, doktor itu tergamam dan tidak menyangka kehadiran pegawai kesihatan dan polis ke kliniknya.
“Hasil soal siasat, doktor itu mendakwa kerap bergaul dengan penagih sebelum timbul idea menghasilkan ramuan dadah generasi baru yang didakwa dapat memberikan kepuasan maksimum kepada golongan itu.
“Kesukaran mendapatkan bekalan ganja atau heroin menyebabkan penagih menjadikan pil khayal sebagai dadah gantian,” katanya.
Berikutan itu, timbul idea doktor berkenaan mencampurkan pelbagai jenis pil khayal seperti ubat tidur, ubat batuk, ubat penenang, ubat mengawal ketagihan dadah dan pelbagai pil perangsang lain untuk dijadikan dadah generasi baru.
Antara pil khayal yang dijadikan ramuan ialah suboxone, domicum, methadone, nospan, diazepam, terbutaline, promethazine, chlorpeniramine, paracetamol dan dihidrokodein.
Selain campuran pelbagai pil, doktor terbabit turut menghasilkan cecair ubat batuk yang dicampur dengan methadone.
“Dadah umpama adunan koktel ini dianggap mempunyai kuasa khayal berkali ganda berbanding ganja dan boleh membuat penagih lalok hampir dua hari.
“Malah, kesan ketagihan yang dialami tidak hanya boleh menyebabkan kerosakan saraf otak, malah boleh meragut nyawa penagih yang kerap mengambilnya sekali gus,” katanya.
Menurutnya, agak melucukan apabila doktor terbabit cuba membuat cerita karut kononnya campuran pil khayal itu bertujuan membuatkan penagih menjadi segar selain menguatkan sendi tulang.
“Pegawai farmasi menemui ratusan bungkusan campuran pil khayal terbabit dan puluhan botol cecair yang siap untuk dijual kepada penagih.
“Semua bungkusan pil khayal terbabit dianggarkan bernilai lebih RM200,000 dirampas. Pihak farmasi menganggap ia rampasan terbesar membabitkan penyelewengan ubat-ubatan oleh klinik swasta tahun ini,” katanya.
Menurutnya, doktor itu akan didakwa mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-dua sekali.